10 Amalan Terbaik tetapi Terbalik

January 19, 2011

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan-amalan seharian kita. Kadang-kadang kita akan mendapati bahawa sesetengah amalan kita adalah terbalik atau bertentangan daripada apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan di bawah sebagai contoh-contoh amalan yang terbalik:
 
1. Amalan mengadakan kenduri arwah untuk beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik daripada apa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. di mana Rasulullah S.A.W. telah menganjurkan jiran tetangga untuk memasak makanan untuk keluarga si mati agar dapat meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, namun mereka terpaksa pula menyediakan makanan dan melakukan perbelanjaan untuk tetamu yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir menikmati kenduri tersebut berasa khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
 
2. Jikalau menghadiri kenduri walimatul urus (kenduri kahwin), tetamu kerap memberikan "Assalamu'alaikum berisi" (hadiah wang yang diberikan semasa bersalam). Jika tiada duit untuk dikepit di dalam tangan, maka tetamu tersebut berasa segan untuk menghadiri kenduri itu. Namun begitu, jikalau dia menziarahi orang mati, dia tidak pula berasa segan untuk tidak memberikan "Assalamu'alaikum berisi". Sepatutnya, apabila menziarahi keluarga si mati, kitalah yang patut memberikan sedekah. Apabila menghadiri kenduri kahwin pula, tidak mengapalah jika sedekah tersebut tidak diberikan kerana tuan rumah mengadakan kenduri untuk menjamu tetamu, bukan untuk menambahkan pendapatan.
 
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara, kita berpakaian cantik, kemas dan segak. Namun begitu, apabila mengadap Allah baik di rumah mahupun di masjid, pakaian kita adalah ala kadar sahaja, bahkan ada dalam kalangan kita yang tidak berbaju langsung. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik?
 
4. Apabila menjadi tetamu di rumah orang dan diberikan jamuan, kita berasa segan untuk makan sehingga habis apa yang dihidangkan kerana berasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut oleh syarak adalah memperbanyak makan dan menghabiskan apa yang dihidangkan supaya tuan rumah berasa gembira dan makanan juga tidak terbazir.
 
5. Apabila berada di masjid, kita berasa amat rajin untuk mendirikan solat sunat. Tetapi, apabila berada di rumah, kita berasa sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya, solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk mengelakkan rasa riak.
 
6. Bulan puasa adalah bulan untuk mendidik nafsu termasuk mengurangkan nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam, kita akan dapati bahawa perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi pada setiap tahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan pada bulan puasa adalah yang terendah. Bukankah terbalik amalan
kita?
 
7. Kalau hendak pergi mengerjakan ibadah haji, kebanyakkan orang akan mengadakan kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dar Mekah, mereka tidak mengadakan kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuatlah kenduri, bukan kerana hendak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau adakah  kita mempunyai tujuan yang lain?
 
8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah anak-anak mereka ke kelas tuisyen walaupun banyak perbelanjaan yang diperlukan. Tetapi, jikalau anak tidak boleh membaca Al-Quran ataupun mendirikan solat, ibu bapa tidak pula bimbang bahkan tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke kelas mengaji Al-Quran ataupun ke kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar RM20.00 sebulan untuk satu matapelajaran 8 kali kehadiran, tetapi kepada Tok Guru Al-Quran hendak dibayar RM15.00 sebulan untuk 20 kali kehadiran pun menggeletar kaki tangan.
 
Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al-Quran atau mendirikan solat daripada tidak lulus dalam peperiksaan.
 
9. Jikalau bekerja mengejar rezeki Allah, tidak kira siang atau malam, pagi atau petang, mesti pergi ke pejabat. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Namun begitu, untuk pergi ke rumah Allah (masjid), hujan pun tidak, panas pun tidak, ribut pun tiada, kita tetap lalai untuk bertandang ke masjid. Sungguh memalukan dengan sikap manusia yang sebegini rupa, kerana rezeki Allah diminta setiap hari, tetapi untuk pergi ke rumahNya, berasa segan dan malas pula.
 
10. Seorang isteri jikalau hendak keluar rumah sama ada dengan suami ataupun tidak, bukan main lagi dia berhias. Tetapi jikalau berada di rumah, masha Allah. Sedangkan Islam menuntut seseorang isteri itu agar berhias untuk suaminya, bukannya berhias untuk orang lain. Amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia dan akhirnya membawa kepada penceraian seperti yang kebanyakkannya berlaku pada hari ini.
 
Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat yang sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita sentiasa menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita.
 
Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah S.A.W.: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat". (Riwayat Bukhari)

You Might Also Like

0 Comments

Speak now or forever hold your peace.

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe